Rabu, 15 Disember 2010

SEJARAH DAN PERKEMBANGAN BOLA TAMPAR




Sejarah dan Perkembangan Bola Tampar.

Asal usul bola tampar telah mencetuskan perdebatan yang hangat. Walaupun asal usulnya tidak jelas, adalah dipercayai bahawa permainan yang hampir sama dengan bola tampar telah dimainkan beberapa ratus tahun dahulu di Amerika Tengah dan Selatan serta di Asia Tenggara. Howard Keith (1942) di dalam bukunya Sports and Games telah melaporkan bahawa bola tampar di Amerika telah diubahsuai daripada Fraust Ball yang diperkenalkan di Jerman pada tahun 1893. Begitu juga dengan permainan Minton yang dibawa ke Amerika oleh David McConnaughly Jr. pada tahun 1895. Kedua-dua jenis permainan tersebut mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan bola tampar Morgan. Walau bagaimanapun, Morgan tetap berpendirian bahawa beliaulah yang telah mencipta permainan bola tampar.Permainan bola tampar mula diperkenalkan pada tahun 1895 di Gimnasium Y.M.C.A., Springfields, Massachusettes, Amerika Syarikat oleh Prof.William J. Morgan (1870-1942) sebagai suatu permainan rekreasi. Morgan sebagai seorang pengarah fizikal telah dipertanggungjawabkan untuk mencipta suatu permainan rekreasi untuk sekumpulan lelaki yang enggan bermain bola keranjang.
Pada peringkat mula, bola keranjang dipukul dengan tangan supaya ia sentiasa di udara. Kemudian jaring diletakkan di tengah dan beberapa peraturan diwujudkan. Jaring ditinggikan kepada tujuh kaki namun bermain dengan bola keranjang telah menyebabkan tangan pemain menjadi sakit kerana menahan beratnya. Morgan seterusnya telah meminta pertolongan syarikat Spalding untuk mencipta bola baharu yang dihasilkan dengan menggunakan kulit anak lembu. Sejak itu, permainan ini terus diminati dan diterima oleh Mesyuarat Pengarah Fizikal. Pada mulanya, bola tampar dikenali dengan nama Mintonette dan diubah kepada Volleyball oleh Prof H. T. Halstead pada tahun 1896.

Populariti bola tampar bermula pada tahun 1900 apabila Kanada menjadi negara pertama menerimanya dan kemudiannya diperkenalkan ke India pada tahun yang sama. Sukan bola Tampar terus berkembang apabila ia diperkenalkan ke Cuba (1905), China (1906), Jepun (1908), Puerto Rico(1909) dan Filipina (1910) sebelum ianya diperkenalkan ke Eropah.

Semasa Perang Dunia Pertama, tentera Amerika Syarikat memperkenalkan permainan bola tampar ke Eropah; Yogoslavia (1918), Czechoslovakia dan Poland (1919) serta Rusia (1922). Secara beransur-ansur permainan bola tampar telah berkembang daripada peringkat permainan berbentuk rekreasi kepada sukan yang dipertandingkan. Pada tahun 1934, usaha pertama menubuhkan persatuan antarabangsa dan komisi khas telah bermula. Pada tahun 1936, usaha diteruskan semasa Sukan Olimpik Berlin tetapi telah diganggu oleh Perang Dunia Kedua. Perkembangan tersebut telah menyebabkan banyak persatuan bola tampar ditubuhkan. Persatuan Bola Tampar Amerika Syarikat ditubuhkan pada tahun 1928 dan diikuti oleh Czechoslovakia, Poland, Rusia, Jepun dan Filipina. Perancis, Itali dan Belgium masingmasing telah menubuhkan persatuan bola tampar pada tahun 1936,1945 dan 1946. Pada tahun 1947, Federation Internasionale de Volleyball (FIVB), iaitu sebuah badan rasmi bola tampar dunia ditubuhkan dengan 14 ahli. Presiden pertama badan tersebut ialah Paul Libaud (Perancis) yang memegang jawatan selama 37 tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan